Sunday 7 October 2012

Ratapan Kasih Amarah Ibu, , , ,



Deraian hujan berguguran deras mengalir membasahi hamparan bumi
Sederas air mataku yang bercucuran meratapi sebuah kepiluan
Mengenang titik noda yang pernah ku coretkan padamu
Kekhilafan yang tidak pernah terlintas untuk direncanakan
Yang sudah pasti ianya lembaran ujian dariMu Ilahi Rabbi
Yang akhirnya membawa seribu pnyesalan yang tidak terperi

Duhai ibu...
Ampunkan kesilapan anakmu ini
Bukan niatku untuk mencipta nista padamu
Walau sekuat mana taufan ujian melanda kita
Kasih kita hanyalah pada yang Satu
Ku percaya pada yang berseru
Kasih anak tidak bertepi, kasih ibu kekal abadi.

Setiap gelombang amarahmu kan ku terima jua
Walaupun sakit namun tetap ku cuba menelannya
Kerana ku tahu ianya berpunca dari kelalaianku juga
Tetapi amarahmu itu melebihi kesalahan kecilku
Terkadang jiwa muda ini mendengus kecewa
Namun perasaan itu harus ku singkir pergi
Kerana ia bakal mengundang murkaNya
Pada Ilahi ku pohon keampunan dan kekuatan
Dalam melewati hari-hari bersamamu ibu.

Ketahuilah ibu
anakmu ini jiwanya juga mudah tersentuh
Setiap amarahmu itu ku benteng dengan kesabaran
Agar aku tidak menjadi si penderhaka Tuhan
Kerana ku tahu betapa pedihnya azabMu Tuhan
Satu pintaku agar kau leburkan api kemarahanmu itu
Kerana cairannya itu bakal merosakkan jiwa-jiwa anakmu

Wahai ibuku...
Syukur kerana tanganmu sempat ku kucup memohon ampun
Syawal ini ku melangkah meninggalkanmu
Setelah seusai Ramadan kita bertemu
Akan ku bawa hati yang pilu ini sejauhnya
Kerana ku bimbang akan mengguris hatimu lagi
Biarlah hati ni pergi mencari sinar kekuatan abadi
Berkalung doa ku panjatkan padamu nanti

Akan ku ratap kasihmu ibu selamanya
Agar dapat ku sisipkan kembali cintamu padaku
Ku akui aku bukanlah yang Solehah padamu
Namun percayalah anakmu ini sedang berusaha menggapainya
Andai ini detik pertemuan Syawal yang terakhir bagi kita
Akan ku abadikan wangian kasihmu dalam dakapan erat imanku
Agar mudah untukku menelusuri perjalanan hisabku nanti

-Ya Allah ampunilah segala dosaku dan juga dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil.-

Langka Menuju Ilahi



Dalam pekatnya malam
Terlalu banyak titik noda yang menggelapkan hati
Dihujani dan diterjah pelbagai persoalan
Sering kali menghantui
Masihkah punya ruang untukku bertemuMu.

Banyaknya memikirkan bagaimana dan kenapa
Tak kan pernah menemukanku jalannya
Hanya dengan satu bicara
Aku harus memulakannya
Tanpa ragu dan jemu
Tanpa bertangguh dan tunggu.

Seringkali rasa jauh itu menerpa
Terasa meronta-ronta sebuah jiwa
Minta dilepaskan pergi rasa itu
dicampakkan ke satu daerah
yang tak kan pernah bisa ia bangkit kembali.
Namun....

Rasa hanya tinggal rasa
Selagi mana belum tercipta  pembuktian
Tanda kasih dan cinta kepadaNya

Ya Allah
Sungguh hinanya diri ini
Seringkali langkah ini berpaling dariMu
Membiarkan debu dosa bertamu
Disegenap ruang nadi
Kini, ku sedar
KekuasaanMu melebihi segala.

Ya Allah
Tatkala bersamaMu saban malam
Terasa begitu indah nikmatMu
Damai terasa disegenap ruang
meneroka seluruh jiwa dan jasad.

Ya Allah
Lapang dan indahnya saat sujudku
Hanya padaMu ku mencurah segala
Kepahitan dan kesakitan
Kian tidak terasa
Pergi menjauh saat dahi mencecah sejadah

Ya Allah
Istiqamahkanlah diriku
Moga aku tidak datang kepadaMu
Dalam keadaan Engkau tidak redha
Moga saat hembus nafasku
Terukir senyuman indah
Menghiasi seri wajah

Ya Allah
Seringkali aku meminta
Pada setiap akhir sujudku
Moga kasih dan cintaMu
Hadir setiap saat dan waktu
Mendamaikan hati yang lesu
Menguatkan diri yang kaku
Menghadirkan cinta padaku
Mengelola seluruh hidupku.

Rona kehidupan penghisap diri. . . . . .


Tiupan bayu menyentuh lembut di pipi
Pepohonan menari riang mengikut irama
Membawa khayalanku menyusuri bersama
Mengimbau nostalgia figura sirah diri
Deruan sungai seakan berbicara

Bercerita liku luka dunia fana
Terkadang tawa diberi nikmah
Terkadang hiba diuji musibah
Sungguh hebat kuasa mencipta Pencipta
Putaran takdir masa silih berganti

Engkau turunkan lebatnya hujan duka
Engkau gantikan dengan indahnya pelangi
Ku syukuri setiap anugerah pemberianMu
Menghisab diri tiap detik dan waktu
CintaMu akan ku raih dalam dakapan imanku
Moga kelak ku bisa menjadi tetamu SyurgaMu
Kicauan nyaring burung bertelingkah
Mengejutkanku dari lamunan dinihari
Riaknya semakin merangkak pergi
Giliran malam pula membuka tirainya...

Sebuah kehidupan jika direnungi
Melahirkan insaf di dalam hati
Sungguh Allah Zat Yang Sempurna
Raja Agung seluruh semesta
Syukur nikmat padaMu Rabbi

Limpahan kasih mekar dirasai
Nekadkan diri hamba Ilahi
Moga hidup ku sentiasa diredhai

Angin yang Hiba Itu,,,,,


Kau kata,
Kau mampu,
Namun,
Yang aku lihat cuma kepura-puraan,
Kebodohan kau yang sangat menyakitkan.

Kau kata,
Amanah itu,
Kau mampu pikul,
Tapi yang aku lihat,
Kau berdusta dengan janji manis kau.

Kau menyatakan,
Selama mana kau berpijak pada bumi Allah ini,
Kau tidak akan angkuh,
Tapi yang aku lihat,
Angkuhmu bagai tiada batasnya,
Laksana manusia durjana.

Aku melewati setiap daripada mu,
Menghampakan,
Menghibakan,
Tiada satu pun yang menggambarkan sifat khalifah itu,
Dan jika masih ada,
Hanya seperti sebutir permata di dalam lumpur.

Tetapi,
Tidaklah aku mengalah dengan kekurangan ini,
Kerana aku tetap angin yang bertiup,
Tetap mencari,
Khalifah yang sebenar.

Saturday 6 October 2012

Cantiknya Seorang Wanita, , , , ,


Wanita dan kecantikan sangat sinonim. Dua-dua ini tidak akan terpisah dan tidak boleh dipisahkan. Kecantikan adalah aset dan lambang kewanitaan.

Wanita yang berasa dirinya tidak cantik akan berasa sedih dan merendah diri. Mereka mudah malu dan hilang keyakinan berhadapan dengan orang ramai. Mereka seakan berasa persepsi orang terhadap mereka buruk-buruk belaka.

Berbeza dengan wanita yang cantik. Langkah mereka penuh dengan gaya dan bertenaga. Senyuman mereka tidak putus-putus menghiasi waja. Sungguh berkeyakinan. Mereka sentiasa yakin bahawa orang ramai suka melihat diri mereka.

Pada sisi saya, sebagai seorang lelaki. Berbohong jika saya cakap tidak tertarik dan suka kepada wanita yang cantik. Kerana itu memang lumrah seorang lelaki. Dan itu juga satu sebab kenapa wanita sering menonjolkan kecantikannya.

Tapi ingat satu perkara...

"Wanita yang tidak cantik luar tetapi cantik dalam masih lagi dapat dilihat kecantikannya. Berbanding wanita yang cantik luar tapi buruk dalam, mereka hodoh sebenarnya!"

Kecantikan dan Wanita

Kecantikan itu aset dan keagungan wanita. Ketahuilah bahawa kecantikan seorang wanita bukan terletak pada wajahnya tetapi kelembutan jiwanya!

Saya tertarik satu rangkap daripada lirik lagu
"Sedarilah insan istimewa,
Bahawa kelembutan bukan kelemahan,
Bukan jua penghinaan dari Tuhan,
Bahkan sebagai hiasan kecantikan"

Apabila kecantikan pun perlukan perhiasan, maka kecantikan itu belumlah sempurna. Maka kita tahu kecantikan itu tidaklah cantik tanpa kelembutan jiwa dan tingkah lakunya. Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan kita, bahawa paras rupa juga bukanlah suatu nilaian yang hakiki. Fizikal bukanlah fokus pandangan Ilahi tetapi ianya terletak di dasar hati seorang hamba.
Daripada  Abu Hurairah Abd ar-Rahman bin Sakhr RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi dia melihat jantung hati (niat) kamu."
(Hadis Riwayat Muslim)
Fikirkan
Cantikkah seorang gadis remaja yang sering melepak dan berpeleseran di luar sana?
Cantikkah seorang isteri yang sering derhaka dan melawan cakap suami?
Cantikkah seorang ibu yang sering menengking dan mendera anaknya?
Cantikkah seorang wanita yang gemar mengeluarkan kata-kata keji dan kesat?
Cantikkah wanita yang berpakaian dan berperangai seperti lelaki?

Tidak walaupun sesekali.

Wanita yang hilang sifat kelembutan jiwanya akan menenggelamkan kecantikan luarannya.
Bahkan seorang wanita yang lembut jiwa, malu apabila dirinya kelihatan cantik kerana lembut jiwa ia hanya menumpu kasih pada bakal sang suami. Bukan lelaki ajnabi. Mereka tidak rela 'cantik' mereka dinodai oleh mata-mata asing. Hatta lelaki yang bersifat 'kaki perempuan' juga lebih memilih seorang wanita yang bijak dalam tindakannya, indah tutur bicaranya dan mulia perilakunya.

Jangan cemburu apabila diri mu tidak cantik duhai wanita kerana cantikmu bukan di situ. Tetapi di dalam hati. Lelaki yang baik akan menilai hatimu yang cantik bukan rupamu.

"Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu meluluh,
Pandangan hati itu yang hakiki,
Jika hati itu bersih..."

Hiraukan kata-kata cemuhan dan sindiran. Kerana mereka buta mata hati. Percayalah hanya jodohmu akan bijak menilai dirimu. Justeru, tidak perlu bersusah payah bersolek sebelum nikah, tetapi bersusah payahlah untuk membina 'cantik' serinya yang bermula dari hati.

Sesungguhnya hati yang bersih akan mencerminkan keindahan peribadi, dengan cerminan itulah dirimu lebih cantik daripada wanita yang hanya cantik dipandang semata-mata namun 'kurang cantik' dalam menghiasi diri dengan kemuliaan akhlak.

Senyumlah, dan jadilah wanita yang cantik pada pandangan Allah.