Tuesday 26 June 2012

Tiada Cinta Sehebat Cintamu Ya..Allah

Alhamdulillah, sejak Fiq mula mengenali dan cuba mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam hidupnya, dirinya makin terasa tenang dan hidupnya telah banyak berubah.


Daripada seorang yang kurang mempunyai rasa malu berbanding rakan-rakannya yang lain, 
Fiq kini telah mula rasa malu untuk melakukan perkara-perkara yang kurang manis dilakukan oleh seorang gadis sepertinya.

Dia juga berusaha menutup auratnya mengikut syariat-syariat Islam walaupun pada mulanya dia teragak-agak untuk berubah kerana bimbang dirinya tidak dapat beristiqamah dengan perubahan yang bakal dilakukannya.

Fiq juga berusaha sedaya upaya agar dirinya mengadu hanya kepada pencipta-Nya. 
Pada mulanya, hal ini amat sukar kerana dia adalah seorang yang suka bercerita kepada rakan-rakannya perihal setiap perkara yang berlaku kepadanya. Namun, dia berusaha sedaya mungkin untuk berubah atas kesedarannya bahawa hanya Allah yang benar-benar memahami dirinya dan Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Seperti kebanyakan gadis-gadis seusianya, dirinya juga tidak terkecuali daripada fitrah seorang manusia yang ingin dicintai dan mencintai. 
Jika dahulunya, dia sering berasa cemburu melihat rakan-rakan mempunyai teman masing-masing, kini semuanya sudah berubah. 
Persepsinya sudah beralih arah. Apa yang bermain di dalam hati dan fikirannya hanyalah ingin meraih cinta Yang Maha Agung.

Namun, dalam perjalanannya meraih cinta Ilahi, hadir seorang Adam yang ingin merebut hatinya.
 Si Adam berusaha menarik perhatian Fiq, namun, pada masa yang sama, masih menjaga batas-batas yang telah digariskan agama. 
Pada mulanya, Fiq juga seakan-akan memberikan respons kepada si Adam, kerana baginya, si Adam adalah seorang yang baik dan mengambil berat akan dirinya.

Hari demi hari berlalu. Ingatan Fiq terhadap si Adam semakin lama semakin mendalam. Setiap pergerakannya pasti didahului dengan ingatan terhadap si Adam. Namun, Fiq merasakan bahawa hatinya mula sakit, dirinya rasa gelisah tatkala ingatannya kepada si Adam makin mendalam. Dia merasakan bahawa cintanya terhadap Sang Pencipta kian pudar.

Hatinya merintih kerana sebelum ini, amat sukar baginya untuk meraih cinta Ilahi. Pelbagai dugaan terpaksa ditempuhinya. Tapi setelah dia mula belajar mencintai Penciptanya, kini dirinya diduga dengan perasaan terhadap si Adam. Fiq berasa amat sedih kerana apa yang diinginkan sebenarnya adalah cinta Sang Pencipta, bukannya cinta makhluk yang diciptakanNya.

Hanya doa kepada Sang Pencipta yang mampu dipinta, agar dikuatkan hati dan dilindungi daripada bisikan musuhNya. Fiq masih mendambakan cinta Sang Penciptanya, kerana dia yakin itulah cinta yang hakiki. Biarlah dia meraih cinta si Adam yang mencintai penciptanya kerana sesungguhnya berkasih sayang kerana Allah itulah yang dicarinya.

Setiap kali dalam doanya, dia meminta, "Ya Allah, hilangkanlah rasa cintaku ini jika dia bukan untukku, namun jika dia adalah jodohku, hadirkanlah rasa ini setelah dia sah menjadi suamiku, kerana sesungguhnya aku hanyalah inginkan cinta yang halal buat diriku. Sesungguhnya, aku mencari cinta orang yang mencintaiMu dan sesungguhnya aku mendambakan cintaMu yang Maha Suci."



Pengalaman Insan Sepertiku,,

 Pengalaman... 

Kadang terasa seperti angin bayu Tenang, 
lembut serta dingin Terasa jua seperti api Panas, hangat dan menyakitkan Namun, 
itulah yang mendewasakan insan Menjadikannya matang dan lebih berfikiran Meniup semangat untuk terus berjuang di masa hadapan..
Pengalaman... 

Kadangkala menjatuhkan insan Adakalanya meningkatkan keyakinan Namun, 
bergantung pada insan Adakah ditempuhi dengan ketabahan? 
Dilalui dengan kesabaran? 
Dipenuhi dengan keazaman? 
Mengimbau kembali kemanisan Mengenangkan jua keperitan insan Pesan buatmu teman Usah dibiar pengalaman Menghantuimu untuk membuat keputusan Memperoleh kehidupan lebih baik pada masa hadapan Sulamilah ia dengan usaha, doa Dan tawakal kepada-NYA Agar kau lebih bersedia untuk ujian yang seterusnya....