Alhamdulillah, sejak Fiq mula mengenali dan cuba mengamalkan
ajaran-ajaran Islam dalam hidupnya, dirinya makin terasa tenang dan
hidupnya telah banyak berubah.
Daripada seorang yang kurang mempunyai rasa malu berbanding
rakan-rakannya yang lain,
Fiq kini telah mula rasa malu untuk melakukan
perkara-perkara yang kurang manis dilakukan oleh seorang gadis
sepertinya.
Dia juga berusaha menutup auratnya mengikut syariat-syariat
Islam walaupun pada mulanya dia teragak-agak untuk berubah kerana
bimbang dirinya tidak dapat beristiqamah dengan perubahan yang bakal
dilakukannya.
Fiq juga berusaha sedaya upaya agar dirinya mengadu hanya kepada
pencipta-Nya.
Pada mulanya, hal ini amat sukar kerana dia adalah seorang
yang suka bercerita kepada rakan-rakannya perihal setiap perkara yang
berlaku kepadanya. Namun, dia berusaha sedaya mungkin untuk berubah atas
kesedarannya bahawa hanya Allah yang benar-benar memahami dirinya dan
Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Seperti kebanyakan gadis-gadis seusianya, dirinya juga tidak
terkecuali daripada fitrah seorang manusia yang ingin dicintai dan
mencintai.
Jika dahulunya, dia sering berasa cemburu melihat rakan-rakan
mempunyai teman masing-masing, kini semuanya sudah berubah.
Persepsinya
sudah beralih arah. Apa yang bermain di dalam hati dan fikirannya
hanyalah ingin meraih cinta Yang Maha Agung.
Namun, dalam perjalanannya meraih cinta Ilahi, hadir seorang Adam
yang ingin merebut hatinya.
Si Adam berusaha menarik perhatian Fiq,
namun, pada masa yang sama, masih menjaga batas-batas yang telah
digariskan agama.
Pada mulanya, Fiq juga seakan-akan memberikan respons
kepada si Adam, kerana baginya, si Adam adalah seorang yang baik dan
mengambil berat akan dirinya.
Hari demi hari berlalu. Ingatan Fiq terhadap si Adam semakin lama
semakin mendalam. Setiap pergerakannya pasti didahului dengan ingatan
terhadap si Adam. Namun, Fiq merasakan bahawa hatinya mula sakit,
dirinya rasa gelisah tatkala ingatannya kepada si Adam makin mendalam.
Dia merasakan bahawa cintanya terhadap Sang Pencipta kian pudar.
Hatinya merintih kerana sebelum ini, amat sukar baginya untuk meraih
cinta Ilahi. Pelbagai dugaan terpaksa ditempuhinya. Tapi setelah dia
mula belajar mencintai Penciptanya, kini dirinya diduga dengan perasaan
terhadap si Adam. Fiq berasa amat sedih kerana apa yang diinginkan
sebenarnya adalah cinta Sang Pencipta, bukannya cinta makhluk yang
diciptakanNya.
Hanya doa kepada Sang Pencipta yang mampu dipinta, agar dikuatkan
hati dan dilindungi daripada bisikan musuhNya. Fiq masih mendambakan
cinta Sang Penciptanya, kerana dia yakin itulah cinta yang hakiki.
Biarlah dia meraih cinta si Adam yang mencintai penciptanya kerana
sesungguhnya berkasih sayang kerana Allah itulah yang dicarinya.
Setiap kali dalam doanya, dia meminta, "Ya Allah, hilangkanlah rasa
cintaku ini jika dia bukan untukku, namun jika dia adalah jodohku,
hadirkanlah rasa ini setelah dia sah menjadi suamiku, kerana
sesungguhnya aku hanyalah inginkan cinta yang halal buat diriku.
Sesungguhnya, aku mencari cinta orang yang mencintaiMu dan sesungguhnya
aku mendambakan cintaMu yang Maha Suci."